Home

Monday, March 29, 2010

SEMINAR KEIBUBAPAAN


Wahai Bakal Papa BERSEDIA lah...

Agak lama tidak menulis cerita dalam blog ini, urusan hujung minggu dengan pelbagai aktiviti kesukarelaan menyebabkan masa untuk memikirkan susun atur ayat dalam blog terhenti sementara. Petang ini aku terpanggil untuk bercerita atau berkongsi sedikit ilmu yang aku timba dari sumber rasmi aku iaitu INTERNET lah. WANG, DUIT, ASET, PENDAPATAN etc selalu mebelenggu bakal-bakal Papa kerana perlu memikirkan bagaimana untuk menyediakannya. Di sini aku ingin menfokuskan pada ruangan blog ini ialah DANA Pelaburan anda...ini aku import dari majalah Pa&Ma....

Awasi Pelaburan Anda

Apa akan berlaku sekiranya anda tidak mengawasi ke mana perginya anak-anak anda? Mungkin anak anda akan hilang atau berada dalam keadaan yang tidak selamat. Begitulah perumpamaannya dengan pelaburan. Ikuti penerangan lanjut daripada SIDC.

Jika anda membiarkan pelaburan tanpa memantau dan mengawasinya, maka besar kemungkinan pelaburan anda boleh mengalami kerugian atau tidak mendatangkan hasil dan pulangan yang diharapkan. Mengawasi pelaburan merupakan aktiviti yang perlu dilakukan bagi memastikan prestasi pelaburan bergerak selaras dengan perancangan kewangan dan jangkaan anda.
Dengan membuat pemantauan, anda boleh menyesuaikan strategi sama ada mahu
meningkatkan pulangan atau mengurangkan kerugian. Dalam artikel ini, anda akan
mengenal pasti cara-cara untuk mengawasi pelaburan anda iaitu seperti panduanpanduan
mudah berikut:

Perhatikan Perubahan
Kita hidup dalam dunia yang berubah-ubah. Segala-galanya bergerak dan berubah dengan pantas. Oleh itu, tidak kira betapa teliti dan terperinci pun anda membuat perancangan kewangan, ia tetap akan dipengaruhi oleh perubahan. Perubahan kepada undang-undang dan peraturan, persekitaran ekonomi dalam negara dan dunia yang berubah-ubah sifatnya (contohnya, krisis kewangan Asia pada tahun 1997), perubahan dalam pasaran modal dan perubahan dalam keuntungan syarikat boleh mempengaruhi pelaburan anda. Kesan daripada perubahan itu, pelaburan anda mungkin perlu disusun semula untuk disesuaikan dengan perancangan kewangan dan matlamat anda dengan lebih baik lagi. Pelabur yang bijak perlu proaktif kepada semua perubahan ini.

Mengubahsuai Pelan Anda
Kedua, anda perlu kerap mengkaji portfolio pelaburan anda. Sejajar dengan perubahan masa, kedudukan kewangan juga mungkin berubah dan oleh sebab itu, anda mungkin perlu mengkaji semula perancangan dan matlamat kewangan anda. Kajian semula ini perlu untuk memungkinkan penyusunan semula pelan dan matlamat anda. Katakanlah anda menerima durian runtuh dan kini mempunyai lebih banyak wang untuk dilaburkan - bolehlah anda mencorak matlamat yang lebih besar. Atau, nilai bersih wang anda mungkin telah meningkat melalui pembelian sesuatu harta, dan kini tabungan anda untuk pelaburan berkurangan dan anda perlu mengubahsuai pelan anda.

Penilaian Prestasi
Anda perlu memantau dan menilai prestasi pelaburan anda secara berterusan untuk mengetahui perkembangan pelaburan tersebut. Periksa bagaimana saham, dana unit amanah dan pelaburan yang lain bergerak berbanding perancangan yang anda buat ketika mula-mula menetapkan matlamat pelaburan dahulu.

Jika pelaburan anda berada dalam keadaan memuaskan, anda mungkin mahu melaburkan lebih banyak wang, atau mengeluarkan sebahagian daripada keuntungan dan membeli produk pelaburan yang lain. Jika prestasi pelaburan itu tidak seperti yang diharapkan, anda mungkin
mahu menjualnya.

Berapa kerap anda perlu menyemak pelaburan bergantung kepada saiz dan jangka masa pelaburan tersebut, dan sama ada anda memilih aset yang berisiko tinggi atau rendah.

Simpan Dokumen Pelaburan
Cara paling mudah memantau pelaburan anda adalah dengan menyemak dokumen dan penyata yang dihantar kepada anda. Penyata pelaburan (misalannya, akaun penyata CDS, penyata akaun urus niaga dan nota kontrak) memudahkan proses pemantauan anda. Nota kontrak, misalannya,
dikeluarkan oleh syarikat broker saham untuk mengesahkan transaksi pasaran saham anda.

Sesuatu nota kontrak, yang merupakan dokumen yang sah di sisi undang-undang, mengandungi butiran penting mengenai transaksi pelaburan anda, umpamanya butiran mengenai urus niaga, pembrokeran, duti setem, yuran penjelasan, kos pembelian dan hasil daripada jualan.

Apa yang perlu anda buat sejurus sahaja menerima dokumen pelaburan anda ialah membaca dan memeriksa ketepatan maklumat dalamnya. Jika anda fikir terdapat sebarang maklumat tidak tepat, hubungi profesional pelaburan anda dengan segera. Anda juga mesti memfailkan dokumen
tersebut secara sistematik untuk rujukan pada masa hadapan. Paling baik jika anda boleh mengawasi sendiri pelaburan dan tidak menyerahkan tugas itu kepada orang lain.

Awasi saham
Anda perlu mengawasi syarikat yang anda melabur dengan meneliti keuntungannya, pertumbuhan perolehannya, penggearan dan pembayaran dividennya. Baca pengumuman syarikat, surat pekeliling pemegang saham, laporan tahunan dan interim, dan tumpukan perhatian kepada tarikh tutup terbitan hak, terbitan waran, pengambilalihan, perolehan, laporan
juru audit dan kepentingan pengarah. Anda harus menghadiri mesyuarat agung tahunan untuk mengetahui bagaimana syarikat itu diurus dan mengukur prospek perniagaannya.

Awasi unit amanah
Bagi skim pelaburan secara kolektif seperti unit amanah, anda harus mengawasi pengurus dana daripada segi prestasi, strategi dan portfolionya.


Wednesday, March 24, 2010

Tips Untuk Menghilangkan Sakit Belakang Semasa Mengandung

HmHm kaum ADAM...ingat masa memandu sahaja yang sakit belakang, harus diingat yea! Isteri kita yang mengandung juga akan sering sakit belakang, so kita perlu prihatin dengan perubahan yang berlaku dalam diri isteri kita. Di sini aku nak kongsi sedikit ilmu yang mungki boleh mebantu. Tapi paling penting ialah untuk aku aplikasikan pada isteri aku.....

1.Letakkan bantal kecil dibahagian belakang ketika duduk terutama jika duduk diatas kerusi untuk menyokong tulang belakang sewaktu bersandar.

2.Alas belakang badan dengan bantal sewaktu tidur atau berbaring untuk menyokong bahagian belakang dan tulang belakang. Mengikut kajian, wanita hamil digalakkan untuk mengiring ke sebelah kiri sewaktu tidur kerana ia membantu pengaliran darah dan oksigen ke plasenta.

3.Elakkan dari memakai kasut bertumit tinggi sewaktu hamil kerana ia akan menjejaskan kesihatan tulang belakang anda.

Tuesday, March 23, 2010

Panduan Untuk Bakal Papa

Kekadang kita sibuk dengan kerja dan perniagaan tetapi kita lupa tentang nutrisi untuk isteri kita di awal kehamilan. Selalunya si isteri sahaja yang teliti dalam hal-hal sebegini tetapi bagi kaum Adam kurang mempedulikannya. AYUH! Kita ubah cara kita berfikir dan juga cara kita melayani isteri kita sepanjang tempoh awal kehamilan dan sehingga tempoh melahirkan bakal zuriat kita. Aku hanya nak berkongsi sedikit info yang aku terbaca di internet dan juga buku-buku berkaitan nutrisi dan zat penting sewaktu kehamilan. INGAT! Kaum Adam pengambilan makanan yang seimbang amat penting sewaktu mengandung bagi memastikan isteri kita sihat dan anak dalam kandungan membesar dengan baik.

1. Air - Pengambilan air yang cukup sangat penting untuk diambil oleh ibu sewaktu tempoh hamil bagi mengelak dehidrasi. Air boleh diambil tak kiralah sama ada air kosong, sup, susu atau dalam bentuk jus buah-buahan dan perlu diambil dalam anggaran 9 gelas sehari. Diwaktu cuaca panas pula, seelok-eloknya jumlah pengambilan air perlu ditambah. Ingat yea wahai suami, kadang-kadang isteri kita ini cepat panas dan kurang selesa dalam sesuatu keadaan, ini mungkin disebabkan oleh perubahan hormon dan usia kandungan yang makin bertambah. Sediakan air yang secukupnya untuk isteri kita.

2. Kalsium - Pengambilan kalsium yang cukup amat penting bagi pertumbuhan tulang dan gigi bagi anak didalam kandungan. Ia juga penting bagi mengelak daripada osteeporosis dan gigi rapuh kepada si ibu. Kalsium yang tinggi boleh didapati dari sayur hijau, susu dan produk tenusu seperti keju dan yogurt. Kekacang juga mempunyai kalsium yang tinggi tetapi bagi mereka yang mempunyai sejarah alergi dan alahan didalam ahli keluarga dinasihatkan agar mengelak dari mengambil kacang sewaktu tempoh hamil. Wahai suami jangan kedekut untuk membelanjakan sedikit duit untuk kesihatan isteri dan juga anak dalam kandungan. Susu seperti "Mamil Mama" boleh membantu dalam menambahkan kalsium. Harga untuk tin yang kecil berharga RM 23.70 (Harga Carrefour la, tempat lain kena survey la) yang mana hanya boleh bertahan dalam 7 hari. So suami kenalah bersedia dengan wang ringgit yea. Aku pun tak tahu pasal susu ini tetapi isteri tercinta aku mengajar aku segalanya. Tanyalah isteri korang tip-tip untuk membeli belah kat pasaraya-pasaraya dan perbandingan harga.

3. Zat Besi - Penting unutk diambil oleh ibu yang mengandung bagi mengelak dari masalah kekurangan darah atau dikenali juga sebagai anemia. Bila berlaku masalah kekurangan darah merah, secara langsung akan menyebabkan berlakunya kurang oksigen di dalam badan dan akan membahayakan bayi dalam kandungan. Antara makanan yang kaya dengan zat besi ialah sayuran hijau seperti bayam, prune, kurma, kismis hitam, daging, ikan salmon dan telur kuning. Kadang-kadang isteri kita begitu memilih dalam pemakanan mereka, tetapi harus diingat wahai suami pastikan isteri korang semua mengambil makanan yang berkhasiat dan bukan "junk food" yang kita tidak pasti apa isi kandungannya. AYUH! Mari kita mainkan peranan kita sebagai suami.

4. Karbohidrat - Pengambilan penting untuk tenaga. Sumber karbohidrat boleh diperolehi dari nasi, roti, kentang dan juga dari susu. Kita boleh lihat isteri kita tercinta selalu cepat letih dan kepenatan, so kita perlulah sentiasa peka terhadap perubahan diri isteri kita. Isteri kita berkongsi segala khasiat bersama bayi dalam kandungan. Paling mudah sediakan roti sekiranya hendak melakukan aktiviti atau membuat perjalanan jauh yang boleh menyebabkan isteri kita penat. Mereka akan kerap makan dan makan untuk menampung semula khasiat dalam badan.

5. Asid Folik - Penting untuk pembentukan otak bayi. Selalunya sewaktu berjumpa doktor untuk pemeriksaan bulanan sewaktu mengandung, doktor akan memberikan asid folik sebagai makanan tambahan dan juga ia terdapat dalam susu yang telah diformulasikan seperti "Mamil Mama". Pil Asid Folik tidak la mahal yang mana ia boleh didapati di famarsi yang diyakini.

6. Protein - Penting untuk perkembangan otak bayi. Sumber yang kaya dengan protein ialah daging lembu, ayam. ikan, telur dan susu
7. Buah-buahan dan sayur-sayuran - Penting untuk mengelak dari masalah sembelit sewaktu tempoh hamil kerana ia kaya dengan serat. Selain dari untuk menghalang sembelit, buah-buahan juga kaya dengan vitamin C yang baik untuk kulit. Namun begitu sewaktu diawal kehamilan, elakkan dari mengambil buah-buahan yang tajam seperti buah nenas bagi mengelakkan masalah keguguran.
8. Vitamin B Kompleks - Sumber makanan yang kaya dengan vitamin ini adalah biji-bijian, kekacang, sayur hijau, telur dan produk tenusu.
*wahai suami yang mencintai isteri, jagalah pemakanan isteri supaya keadaaan isteri dan juga bayi dalam kandungan berada dalam keadaan yang sihat. Suami mana yang tidah mahu melihat isterinya mampu tersenyum dalam kedaan yang hamil. Ingat yea wahai suami dan bakal "NEW Papa" ini adalah amanah yang perlu kita pikul. Wajib kita melaksankannya wahai KHALIFAH ALLAH di muka bumi.

Cerita seorang bakal PAPA

Aku bakal jadi papa, satu kejutan budaya tetapi perasaan aku adalah gembira yang teramat sangat. So ruangan ini adalah khas untuk aku menceritakan tentang pengalaman aku untuk menghadapi isteri aku yang sedang mengandungkan anak kami. Macamana aku mencari ilmu tentang panduan menjadi ibubapa sehinggalah cerita untuk menghadapi hari-hari yang ditunggu-tunggu oleh kami. Bolehkah aku mengahadapinya??? Persoalan yang memberi seribu persoalan kepada diri aku. Inilah ruangan untuk berkongsi pendapat dan juga bertanyakan pendapat pada rakan-rakan bloggers yang mempunyai pengalaman.

Kelahiran

Sama-sama kita hayati kebesaran Allah SWT dalam menciptakan manusia.